Saturday, July 24, 2004
Setia Menanti- Fauziah Ashari


Hanya sonata rindu yang mampu merawat luka-luka semalam



Fauziah Ashari dikenali ramai kerana dua novel sebelumnya yang agak popular, Pergilah Sepi dan Ombak Rindu. Populariti penulis ini terletak pada gaya penulisannya yang sederhana, bahasa mudah difahami dan bersahaja. Tidak banyak isu berat yang diketengahkan dan sesuai untuk bacaan ringan sebenarnya. Garapan ceritanya dalam Setia Menanti lebih kemas dan mantap berbanding dua novelnya yang lain. Plot cerita juga agak kemas. Walaubagaimanapun, penulis ini tidak menepati kualiti yang saya cari-cari dalam seorang penulis novel. Setakat ini, penulis-penulis yang mencabar minda saya dengan hasil penulisan mereka ialah Aisya Sofea dan Norhayati Berahim.

Hasil karya Fauziah Ashari mungkin lebih sesuai untuk mereka yang mahu membaca untuk menghilangkan rasa bosan dan bersantai. Isu-isu yang disentuh hanyalah sekadar isu-isu biasa dan tidak dikupas secara intelektual. Mungkin Fauziah Ashari harus banyak membuat kajian (research) sebelum memulakan sesuatu novel. Kajian amat penting sebenarnya sebelum memulakan sesuatu cerita. Tanpa kajian yang mendalam, tidak mungkin kita dapat menghayati dan membawa pembaca ke alam penceritaan kita itu. Secara keseluruhan, novel Setia Menanti menyentuh naluri kewanitaan saya. Mungkin jika ianya diterokai secara mendalam, novel ini bisa memberi impak yang mendalam kepada pembaca-pembacanya.


Sinopsis Cerita
Ajmal bercinta dengan Adrina. Kemudian, kekasih lama Ajmal, Fatihah muncul kembali dalam hidup Ajmal. Tanpa diduga, Ajmal menikahi Fatihah untuk menyelamatkannya. Berlaku konflik percintaan segi tiga.

Rating: ***(OK)

Posted at 05:02 pm by carriekirana
Comments (9)  




Sunday, July 25, 2004
Selamat Tinggal Sayang - Ma Lee Chuswan


Sinopsis Di Kulit Buku

Aku ingin menjadi 'puteri'... kalau tidak puteri kayangan pun... cukuplah sekadar Puteri Nur Deana yang mampu membarisi sekalian puteri-puteri yang ada. Namun itu semua hanyalah impian, dongeng zaman kanak-kanak yang entah bila mampu Puteri kecapi. Lalu kerana 'Puteri', dia senang menjadi 'Dee', bebas daripada sebarang kekeliruan dan sangkaan. Namun 'Dee' tidak bebas tatkala terlanjur, terperangkap oleh masa dan akad. Perkawinan ini satu tanggungjawab... melepaskannya jua satu tanggungjawab yang tidak terjawab. Bertahun Dee menjadi pelarian, siapa sangka bertemu suami dalam suatu periuk rezeki. Namun mampukah Dee terus bersembunyi... dan sampai bila Puteri harus digantung tidak bertali...


"Jangan bazirkan air mata you kerana I...sebab I memang begini. Air mata takkan mengubah I, Puteri...tapi ia buat you kelihatan lemah!" tambah Hakim lalu melangkah pantas meninggalkan Puteri. Sudah terlambat, Hakim. I dah lama menangis kerana you...getus hati Puteri hiba. You musnahkan hidup I.....

Tidak banyak yang saya ketahui mengenai novelis ini. Hanya sebuah nama. Saya kurang pasti samada dia ini lelaki atau perempuan. Tapi, yang pastinya, Ma Lee Chuswan menghasilkan novel-novel yang saya kira menarik. Tidak rugi membeli novel-novelnya. Saya berterima kasih dengan perempuan muda di sebuah kedai buku yang mengenalkan saya kepada salah seorang penulis yang bagus.

Novel Selamat Tinggal Sayang mengisahkan seorang wanita, Puteri,  yang "melarikan diri" dari suaminya, Hakim. Setelah sekian lama, mereka terjenuh kembali dalam suasana kerja yang sama. Hari berganti hari, suaminya merasakan yang Puteri ini banyak mengingatkannya kepada seorang wanita yang dikenalinya dulu, Dee. Misteri terbongkar dan di sini klimaks cerita Selamat Tinggal Sayang bermula.  Saya suka sekali dengan gaya penulisan Ma Lee Chuswan. Dia melakarkan setiap suasana dengan penuh penghayatan. Bait-bait penulisannya yang lebih menjurus kepada bait-bait deskriptif berupaya membuatkan pembaca membayangkan apa yang sedang berlaku pada masa itu. Ma Lee Chuswan bijak menggunakan bahasa kiasan dengan meluas untuk menyampaikan maksud tersirat. Inilah kekuatan unik penulis misteri ini. Bahasa kiasan bersulamkan peribahasa dan simpulan bahasa adalah antara aspek bahasa yang terindah dalam Bahasa Melayu. Inilah aspek yang mewarnai Bahasa Melayu sebenarnya. Tanpanya, Bahasa Melayu akan menjadi bahasa yang mendatar. Tidak ada rencah yang menarik.  

Plot cerita Selamat Tinggal Sayang yang pantas mendorong saya untuk terus menghabiskan novel ini dalam masa dua hari. Oklah tuh.  Banyak perkara baru yang saya pelajari setiap kali saya memilih untuk membaca novel-novel karya Ma Lee Chuswan.

Saya rasa Creative Enterprise patut mencontohi Alaf 21 dengan menyelitkan sekali profil penulis-penulis novelnya dan membuka forum interaktif untuk membolehkan pembaca-pembaca berkomunikasi dengan penulis-penulis kegemaran mereka. Sekurang-kurangnya , cara begini boleh menaikkan lagi jualan novel-novel keluarannya. Setiap kali saya mahu membeli novel Creative Enterprise, saya teragak-agak. Pertama, tiada maklumat tentang penulisnya. Siapakah orangnya? Berapa lamakah dia berkecimpung dalam dunia penulisan? Apakah keunikan novelnya ? Kedua, sinopsisnya agak samar-samar . Mungkin ini adalah strategi pemasaran Creative. Tapi, bagi saya, jika lebih banyak maklumat disalurkan kepada masyarakat umum, lebih ramai orang akan tertarik untuk membeli novel-novel Creative. Bukan setakat komputer atau benda lain yang harus jadi mesra pengguna, tapi novel-novel Melayu juga harus bersifat "mesra pengguna" atau "user-friendly".

Rating: ****(Best Giler)

Posted at 08:49 pm by carriekirana
Comments (54)  




Tuesday, July 27, 2004
Cinta Pertama - Norhayati Berahim


Sinopsis Cerita di Kulit Buku:

Dia lelaki tampan yang mempunyai segala-galanya. Namun dia juga insan biasa yang punya kekurangan. Dia tidak sesekali percaya pada cinta. Bagi dia, cinta suci hanya sekadar omongan yang tidak pernah menjadi kenyataan. Baginya, mana ada perempuan yang setia, mana ada perempuan yang suci cintanya. Selagi kesan luka masih terasa, masih kukuh menampar ingatan, dia lebih senang sendirian. Tidak disakiti dan menyakiti.

Secantik mana gadis yang hadir, rasa cinta tetap asing dalam hatinya. Tapi, sampai bila dia mampu mengasingkan cinta dengan dirinya. Lantas, ketika hadir seorang gadis yang penuh pengertian dan kejujuran, tercuit jua tangkai hati dan perasaan. Apakah akan dibiarkan igauan lampau menguasai diri hingga rasa cinta yang mula bertunas tidak sempat dinikmati...atau memberi ruang pada cinta yang pertama kali mengetuk hati? Dia keliru, adakah ini yang dinamakan cinta pertama....terseksa dalam keindahan?



Pada pendapat saya, karya terbaru Norhayati Berahim ini, Cinta Pertama, tidak banyak beza dari novel-novelnya yang lain. Elemen feminisme yang sering ditonjolkan dalam novel-novelnya terdahulu juga menjadi tunggak utama dalam Cinta Pertama. Kisah cinta tiga segi adalah plot utama. Carl Zafran tidak percayakan cinta. Noktah. Kenangan masa silam membentuk Carl Zafran menjadi manusia yang degil dan tidak tunduk pada perempuan. Tapi juga, hanya perempuan juga yang boleh melembutkan seorang lelaki. Kehadiran Nurul Iman dalam hidup Carl Zafran sebenarnya membuatkan lelaki itu keliru dengan dirinya sendiri. Watak sekondari seperti Muaz, umi ( Dr. Afifah), Haji Ahmad, Dr. Rahmat dan lain-lain adalah perencah yang mewarnakan kemelut di antara Carl Zafran dan Nurul Iman. Elemen kekeluargaan juga diselitkan oleh Norhayati Berahim dalam novel ini. Ini adalah salah satu intipati Norhayati Berahim dalam setiap novel yang dihasilkan olehnya. Norhayati Berahim menghargai institusi kekeluargaan walau mungkin ada badai-badai yang menimpa.

Salah satu sebab saya menyukai karya Norhayati Berahim ialah dia suka menggarapkan latar belakang cerita berdasarkan suasana di luar negara. Skop cerita ini agak meluas - tidak merangkumi hanya dalam rumah saja yang kadang-kala boleh menimbulkan rasa bosan kepada pembaca. Dunia sekarang semakin menuju ke arah dunia tanpa sempadan. Menggabung jalinkan unsur-unsur positif dari luar ke dalam budaya kita seharusnya dilakukan dengan lebih aktif oleh penulis tempatan supaya pembaca novel Melayu tidak seperti "katak di bawah tempurung". Saya bersetuju sangat dengan pendapat Norhayati Berahim, luas perjalanan , luas pandangan. Salah satu komennya yang saya gemar,"Seperti kata pepatah, dunia ialah sebuah buku, sesiapa yang tidak mengembara ibarat hanya membaca sehelai muka surat sahaja."

Rating:****

Posted at 11:03 am by carriekirana
Comments (20)  




Thursday, July 29, 2004
Sehangat Asmara - Aisya Sofea

"Bibir Tidak Perlu Berkata, Bila Hati Sudah Mula Bersuara"




Sehangat Asmara adalah karya terbaru Aisya Sofea. Aisya Sofea mula dikenali dengan novel pertamanya Jauh. Novel terbaru ini lebih berkisar kepada watak utama Kamilia Najwa yang menghadapi konflik perasaan apabila lelaki yang paling dicintainya Zainal Arief muncul kembali dalam hidupnya untuk kali yang kedua. Saya berminat untuk membaca novel ini kerana permulaan cerita ini yang menjurus kepada kehidupan di luar negara.

Apa pun, Aisya Sofea ternyata mempunyai gaya penulisan yang tersendiri. Fokus penulisannya dalam Sehangat Asmara banyak ditumpukan kepada pergolakan perasaan seorang wanita bernama Kamilia Najwa yang begitu kompleks berbanding dengan plot cerita itu sendiri. Saya teringat satu babak dalam filem Inggeris di mana dua orang lelaki sedang bermain catur. Yang seorang ini bimbang kerana penolongnya, seorang wanita akan berhenti kerja. Yang seorang lagi memberi pandangan yang unik - dia boleh bermain catur kerana catur mempunyai undang-undang tetapi dia tewas dengan wanita kerana wanita adalah seorang insan yang kompleks dan sudah pastinya tidak ada undang-undang untuk mendefinasikan apa yang bermain dalam fikiran seorang wanita. Itulah yang cuba dipaparkan dalam novel Sehangat Asmara ini. Yang nyata, Aisya Sofea mampu menggambarkan perasaan seorang wanita dengan sedalam-dalamnya. Perasaan gembira, sedih, kecewa, hampa, tidak keruan digarap dengan begitu menyeluruh sekali.

Secara keseluruhan, Aisya Sofea telah mempamerkan satu karya yang mantap yang menyentuh nilai-nilai kemanusiaan dan kekeluargaan. Walaupun Aisya Sofea merupakan antara penulis popular yang mana karyanya banyak mendapat sambutan ramai, tapi secara peribadi, dia bukanlah penulis kegemaran saya. Mungkin kecenderungannya memanjangkan plot cerita sehingga kelihatan agak meleret membosankan saya. Saya mengambil masa yang agak lama juga untuk menghabiskan novel Sehangat Asmara. Tidak banyak kelainan dalam novel ini berbanding dengan novel-novel yang lain.

Rating: ***1/2(Best jugak)

Posted at 11:47 am by carriekirana
Comments (24)  




Saturday, July 31, 2004
Ombak Rindu - Fauziah Ashari

"Rinduku umpama ombak yang tidak berhenti, Kasihmu bagai pantai yang setia menanti."




Ombak Rindu ialah karya kedua Fauziah Ashari selepas novel sulungnya dengan Alaf 21 iaitu Pergilah Sepi. Gaya penulisan Fauziah Ashari yang senang diikuti mungkin menjadi titik tolak meningkatnya populariti penulis ini.

Kalau diikutkan realistiknya, jarang seorang lelaki mengahwini perempuan simpanannya kecuali jika memang jodoh mereka kuat. Tapi, dalam Ombak Rindu , ceritanya bermula apabila seorang lelaki yang kaya meniduri seorang perempuan, Izzah, yang dijual oleh bapa saudaranya untuk menebus hutang dan kemudiannya mengahwini Izzah apabila dipujuk rayu oleh Izzah untuk menyelamatkan maruahnya. Perkahwinan rahsia ini tanpa disedari menanamkan bibit-bibit cinta Hariz kepada Izzah. Konflik demi konflik wujud dalam novel ini. Kehadiran orang ketiga Milla, mencetuskan kekeliruan dan merupakan satu ujian kepada perkahwinan Hariz dan Izzah.

Kekuatan cerita ini sebenarnya terletak kepada watak Izzah itu sendiri. Ketabahan Izzah dalam menempuhi pelbagai ujian yang datang menghidupkan Ombak Rindu. Novel ini sesuai untuk bacaan ringan di masa lapang. Kalau fikiran tengah berserabut, bolehlah capai novel Ombak Rindu dan bergolek-golek di atas kerusi malas atau katil yang empuk.

Rating: ***1/2 (OK)

Posted at 11:49 am by carriekirana
Comments (90)  




Sunday, August 01, 2004
Air Mata Kasih - Norhayati Berahim

Biar Ku Lontarkan Senyuman Dalam Tangisan"





Sinopsis Kulit Buku

TRAGEDI 40 tahun dulu telah meninggalkan bayangan hitam dalam hidup Fakrulrazi. Kerana tingkah seorang perempuan, dia menyimpan dendam pada perempuan. Baginya, perempuan sering mendatangkan bencana. Oleh itu, timbul diskriminasi antara anak lelaki dan anak perempuan dalam keluarganya. Dan dia sendiri amat memusuhi anak perempuannya Farah Diba, sedangkan gadis itu tidak bersalah. Malah dia cuba menafikan kewujudan gadis itu dari pengetahuan rakan-rakan bisnesnya.

Farah Diba, cekalkan hati untuk menghadapi kebencian bapanya. Dengan air mata, dia meneruskan kehidupannya tanpa kasih sayang dan perhatian lelaki itu. Sebagai mangsa sebuah dendam, dia mahu membuktikan bahawa anak perempuan juga punya hak dan berhak!

TUHAN menurunkan 'petunjuk' bila Fakrulrazi dan anak lelakinya Fuad serta Farid hilang di Whitsunday Island, Australia. FAS Holdings milik Fakrulrazi menjadi rebutan rakan dan saudara mara. Akhirnya, Farah Diba terpaksa menerajui syarikat itu. Tanpa dendam, benci atau sakit hati, dia melonjakkan nama syarikat itu di mata korporat. Namun, usahanya itu tidak berpanjangan bila Fakrulrazi kembali!

Di manakah Farah Diba selepas ini?
Adakah dendam itu terus menjadi hitam?
Hanya lelaki itu yang dapat menjawab persoalan ini!


Sekali lagi Norhayati Berahim menonjolkan unsur feminisme dalam novel terbarunya, Air Mata Kasih yang diterbitkan oleh Alaf 21 ini. Plot ceritanya sungguh bersahaja. Watak Farah Diba yang hidup berdikari tanpa kasih sayang seorang bapa digambarkan dengan begitu berkesan. Kerana dahagakan kasih sayang seorang ayah, Farah Diba beralih kasih kepada kucing. Walau bagaimanapun, sekeras-keras kerak nasi, akhirnya lembut juga direndam dalam air.....

Rating: ***1/2(OK je)

Posted at 08:33 am by carriekirana
Comments (4)  




Sunday, August 08, 2004
Kasihku Abadi -Shanika Latisha

"Akan kusisipkan memori semalam selagi langit memayungi bumi"




Mungkin kulit novel ini yang menarik perhatian saya. Mungkin sinopsis ceritanya yang agak berlainan membuakkan perasaan ingin tahu saya untuk cuba menilai penulis baru ini. Setelah habis membaca novel ini dalam masa dua hari, saya ingin mengucapkan SYABAS kepada Shanika Latisha kerana berjaya menghasilkan sebuah novel bermutu yang berjaya meninggalkan kesan yang mendalam di hati saya.  Penulis muda yang muncul di persada penulisan dengan novel sulungnya Kasihku Abadi ini berjaya memaparkan plot cerita yang begitu menyentuh hati. Saya tertarik untuk membaca Kasihku Abadi kerana belum pernah ada lagi seorang  penulis yang menyentuh permasalahan AIDS dan menjadikannya sebuah novel di Malaysia ini. Seringkali kita mendengar dan melihat program-program berkenaan AIDS di TV dan radio. Pendek kata, Kasihku Abadi  sebenarnya mendidik kita tentang apakah itu AIDS dan bagaimana hendak menangani isu ini.

Pengalaman Shanika berdamping dengan pesakit AIDS sendiri ternyata digunakan sepenuhnya dalam cerita Kasihku Abadi . Shanika bisa mengukir nama sebagai salah seorang penulis wanita yang popular dalam sedikit masa lagi jika dia sentiasa konsisten dengan menghasilkan karya-karya yang berkualiti. Research Shanika berkenaan AIDS ternyata terserlah di dalam novel ini. Inilah intipati yang saya sering sebutkan dalam ulasan-ulasan saya yang terdahulu.

Isu AIDS dikupas dari kacamata penghidapnya, isterinya, keluarga dan rakan-rakan. Tidak dapat dinafikan lagi, tahap minda yang tajam, kritikal dan kreatif harus ada pada setiap penulis untuk membolehkannya mempersembahkan cerita kemasyarakatan dalam bentuk yang berkualiti. Penghayatan penuh Shanika dalam menulis tentang AIDS mengkagumkan saya. Tidak semua orang boleh menulis mengenai AIDS hanya berbekalkan dari pandangan luaran sahaja. Kematangan Shanika dalam membicarakan AIDS dari setiap sudut dapat mendidik pembaca tentang pentingnya kesedaran kita dalam menghadapi isu AIDS.

Di sebalik kekuatan plot cerita Kasihku Abadi , penggunaan "aku" sebagai  menggantikan Wana agak tidak konsisten dari awal hingga akhir cerita. Peralihan penceritaan dari "aku" kepada Risyam atau Wana sepatutnya digarap dengan lebih teliti supaya tidak menimbulkan kekeliruan pembaca. Ini sahaja yang agak mencacatkan perjalanan plot cerita Kasihku Abadi .

Dunia penulisan adalah satu bidang yang sangat subjektif. Jika kita ingin menulis mengenai sesuatu isu, kita harus tahu apa yang ingin kita tulis. Kita harus membuat kajian, menganalisa isu itu dari sudut pro dan konnya, dan menulis berdasarkan prinsip yang kita bentuk hasil dari kajian kita. Penulis-penulis novel popular Melayu masa kini biasanya hanya menulis , bak kata pepatah Inggeris, hanyalah "the tip of the iceberg". Seorang penulis sepatutnya bukan hanya boleh menulis mengenai "the tip of the iceberg" tapi harus juga tahu melakarkan bagaimana pembentukan ketulan ais itu berlaku, sejarah kewujudannya, bahayanya dan sebagainya. Ini semua berbalik kepada kelas-kelas karangan kita semasa kita di sekolah rendah lagi atau bengkel-bengkel penulisan yang giat dijalankan di merata tempat. Penguasaan Bahasa Melayu yang baik juga sebenarnya boleh mengangkat mutu karya penulis-penulis novel. Bahasa Melayu adalah sebuah bahasa yang indah dan halus. Kebijaksanaan penulis menggunakan Bahasa Melayu untuk menghasilkan novel-novel yang bermutu mampu membawa karya ke peringkat yang tertinggi.

Rating: ****(BEST)

Posted at 11:44 am by carriekirana
Comments (7)  




Wednesday, August 11, 2004
Tak Seindah Mimpi - Sharifah Abu Salem

"Pahitnya sebuah kenyataan sebenarnya lebih indah daripada mimpi yang hanya sekadar mengasyikkan."





Tak Seindah Mimpi karya Sharifah Abu Salem ini disyorkan oleh adik sepupu saya. Sharifah Abu Salem bukan nama asing dalam genre novel. Selain novel, dia juga aktif menulis skrip drama. Antara drama yang pernah tersiar di TV ialah Julia.

Ceritanya berkisar tentang percintaan tiga segi di antara Razif, Salmi dan Norjinah. Razif ditinggalkan isterinya Salmi dan kehadiran Norjinah mengisi kekosongan jiwa. Malang tidak berbau apabila Salmi ditimpa kemalangan dan Razif sanggup menerima Salmi kembali. Salmi membenarkan Razif mengahwini Norjinah tapi hati perempuan mana yang sanggup menerima kenyataan bahawa dia akan bermadu. Sememangnya hidup ini tidak seindah mimpu seperti perjalanan hidup Norjinah yang juga perlu banyak berkorban demi untuk Razif dan keluarganya.

Secara peribadi, saya tidaklah begitu menggemari gaya penulisan Sharifah Abu Salem. Mungkin ada yang suka dan ada yang tidak. Itu sudah menjadi adat. Sharifah Abu Salem sebenarnya berjaya menggarapkan plot cerita dengan berkesan. Kematangannya mengupas aspek kasih sayang dan pengorbanan terserlah dalam Tak Seindah Mimpi Yang pasti Tak Seindah Mimpi mempunyai sambungannya - Tak Semanis Impian.

Rating: ***1/2

Posted at 09:42 am by carriekirana
Comments (9)  




Saturday, August 14, 2004
Pergilah Sepi - Fauziah Ashari

"Bila kegirangan singgah di hati, kesepian terus berlalu pergi."



Pergilah Sepi ialah karya sulung Fauziah Ashari, seorang penulis muda yang mula meningkat naik dalam dunia penulisan novel popular. Plot ceritanya ringkas - Afiqah mengahwini Shafiq setelah ditangkap basah. Tiada dalam perancangan dua pihak yang mereka akan berkahwin. Afiqah tidak dapat menerima hakikat yang dia berkahwin dengan lelaki yang sebenarnya teman lelaki kawan serumahnya. Marah berbekam di hati.

Olahan segar Fauziah Ashari dalam Pergilah Sepi mungkin menjadi titik tolak penglibatannya dalam dunia penulisan. Mungkin ini juga merupakan antara faktor utama novel-novel Fauziah Ashari diminati ramai. Gaya penulisannya yang bersahaja dan penggunaan bahasa yang mudah difahami lebih diminati oleh pembaca pada amnya. Seperti novel-novelnya yang lain, Pergilah Sepi juga sesuai untuk bacaan ringan di masa lapang.

Rating:***1/2

Posted at 08:26 am by carriekirana
Comments (26)  




Monday, August 16, 2004
Arjuna Hati - Norzailina Nordin

"Engkaukah itu dalam tidurku? Engkaukah jua dalam jagaku?




Syabas saya ucapkan kepada Norzailina Nordin di atas kemunculan karya terbarunya Arjuna Hati. Inilah initpati karya mantap dan matang yang selama ini saya cari di dalam kebanyakan novel Melayu di pasaran. Norzailina berjaya membawa saya melalui satu zaman kolonial dan menjelajah ke bumi England untuk mencari asal keturunan Shahbudin-Dean yang terdampar di England seratus tahun yang lalu secara tidak sengaja. Kajian mendalam Norzailina tentang Arjuna Hati begitu terserlah sekali. Inilah kekuatan cerita Arjuna Hati sebenarnya dan inilah juga yang sering saya sebut dalam ulasan-ulasan saya yang lepas. Arjuna Hati berjaya mencabar minda saya dan membuatkan saya tidak sabar-sabar menghabiskan novel ini dalam masa 2 hari. Norzailina berani meneroka satu tema berunsurkan sejarah keturunan yang jarang sekali dikupas oleh penulis-penulis novel yang lain. Idea Norzailina begitu unik. Kisah percintaan sebenarnya saya rasa hanyalah satu plot sekondari dalam Arjuna Hati. Plot utamanya lebih berkisar mengenai nilai kekeluargaan dan keazaman merapatkan kembali tali persaudaraan yang lama terpisah di antara dua benua.

Pada amnya, novel-novel Melayu banyak berkisar tentang kisah percintaan dengan tema yang begitu cetek. Kupasan mengenai cinta juga tidak mendalam. Mungkin kerana mengikut kehendak para penerbit yang lebih berminat untuk menerbitkan novel popular sebab sememangnya novel popular lebih banyak terjual berbanding dengan novel yang agak "berat". Tetapi, saya rasa, masyarakat kita semakin ramai yang sudah "educated" dan pastinya mereka juga mahukan bahan bacaan yang bukan sahaja popular tetapi mempunyai elemen-elemen positif yang mendalam yang mendidik mereka mengenai kehidupan.

Resipi Norzailina kali ini memang ternyata berbeza namun saya pasti Arjuna Hati. sudah menjadi panas di pasaran. Ini berdasarkan dari reaksi-reaksi positif yang saya dapati dari kawan-kawan dan reaksi pembaca di laman web Alaf 21.

Arjuna Hati. pasti tidak akan mengecewakan.

Rating: ****1/2 (Best)

Posted at 08:03 am by carriekirana
Comments (8)  




Next Page


CARRIE KIRANA

Kuala Lumpur
10 Julai/Cancer
Tulis, baca, masak, muzik, tonton wayang, melancong
Ungu, Maroon, Hijau Pucuk Pisang
Maggi goreng, nasi ayam, tiramisu, blueberry cheesecake
Ice lemon tea, green tea
Hubungi/sembang dengan saya di:carriekirana2@yahoo.com

Saya bukan siapa-siapa, hanya seorang hamba Allah yang mencari ruang di alam maya ini untuk melakukan satu perkara yang menjadi sebahagian daripada saya - menulis.


"BACAlah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia mencipta manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu yang maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya." - Terjemahan Ayat 1-5, Surah Al Alaq.

"Books showed me there were possibilities in life, that there were actually people like me living in a world I could not only aspire to but attain. Reading gave me hope. For me, it was an open door."-Oprah Winfrey

"You know you have read a good book when you turn the last page and feel as if you have lost a friend"-Anonymous.

LATEST ADDITION TO MY TREASURE TROVE OF BOOKSTORES

Times Pavilion - This is a new bookstore in town for booklovers and of course my new favorite place to find books. Excellent promotion for members - get 3 books for 2 - on top of that 5% for each book on discount; a lounge for members to enjoy chilling out and free WiFi
Borders- If you are lucky, you can get three books for the price of two books - Worth going
Times KLCC - I like Times very much because of the 10% off if you are a member , new arrivals - you can enjoy up until 25%- worth going
Popular, Ampang Point - Even better, sometimes you can get 20% off selected titles or the new arrivals
Kinokuniya KLCC - Check out some good promotions they have - new arrivals 20% off if you purchase another book of the same value or less
Minerva, Jalan TAR - a haven for Malay novel enthusiasts, attractive 20% off the wide range of Malay novels of your choice
MPH, Midvalley Megamall- Paling kedekut - you can only get points and once in the blue moon, you will get the red carpet specials but being a member doesn't get you much discount like the rest.



Bacalah seribu buku jika anda mahu menulis sebuah buku.


aku menulis bukan kerna nama... di sini aku coretkan pengalamanku, menjadi Cinderella Cinta, mengembara ke alam-alam cinta yang dizahirkan oleh deretan novelis... adakalanya perjalananku dihiasi denganGurindam Jiwayang indah dan telus; Pada satu ketika, aku juga dilambungOmbak Rindu. Aku terasa betapa Manisnya Cinta Yang Terindah dan Hangatnya Asmara. Adakalanya, cinta itu menjadi tragis lalu ia menjadi Rahsia Si Perindu. Kadang-kadang, hatiku tercuit... terusik... mengenangkan Epilog Cinta. Bila sampai masanya, air mataku juga bisa mengalir... Sesekali, ayat-ayat cinta yang indah kusimpan, untukku menulis rasa hatiku dalam ... diari dan surat... emel ? barangkali. Sudah jauh pengembaraanku... Mencari erti Cinta di bawah Bulan Yang Berbisik... di sebalik Bayangan Rindu... kadangkala aku terasa Bagaikan sang Puteri... menelusuri Labyrinth kehidupan namun sejauh mana aku pergi...aku hanya tahu yang satu...bahawa Syurga cinta akhirnya letaknya Di hati. - Carriekirana



.



   





<< December 2018 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01
02 03 04 05 06 07 08
09 10 11 12 13 14 15
16 17 18 19 20 21 22
23 24 25 26 27 28 29
30 31














































Name :
Web URL :
Message :

















Counters




Layang-layang- Koleksi Sajak Carriekirana

Bookrack - Carriekirana's Reviews on English Novels

Carrie's Column

Kolum Bintang Carriekirana



****1/2
Setulus Setia Seindah Nama - Siti Hasneza Abdul Hamid
Moga Kau Mengerti - Lily Haslina Nasir
Epilog Cinta - Lily Haslina Nasir
Hatiku Di Harajuku - Ramlee Awang Murshid
Nyanyian Tanjung Sepi - Noorsuraya
Tunjukkan Aku Satu Bintang - John Norafizan
Cenderawasih - Fatinilam Sari Ahmad
Cemburu Seorang Perempuan - Siti Hasneza Abdul Hamid
Arjuna Hati - Norzailina Nordin

****
5 Tahun 5 Bulan - Hlovate
Andai Kumiliki Semalam- Syamimi Aminolah
Percayalah - Ruby Hazri
Buatmu Kekasih - Aisya Sofea
Secebis Kasihmu - Syamimi Aminolah
Hati Yang Terusik -Nia Azalea
Pergilah Lara - Nor Erny Othman
Belaian Jiwa-Nor Erny Othman
Takagi Sayang - Nor Erny Othman
Yang Terindah - Anis Ayuni
Angin Dingin Dari Utara - Siti Hasneza Abdul Hamid
Untuk Semua Lelaki Yang Pernah Aku Cintai-Nor Erny Othman
Bagaikan Puteri-Ramlee Awang Murshid
Sempadan Tanpa Seri-John Norafizan
Rahsia Perindu-Ramlee Awang Murshid
Biru Ungu Cinta-Noorsuraya
Atas Nama Kasih - Salina Ibrahim
Kesturi - Fatinilam Sari Ahmad
Mahligai-Salina Ibrahim
Rindunya Kian Membara-Noosuraya
Tiada Indah-Ras Adibah Radzi
Bisikan Kasih-Norhayati Abdul Malek
Rindu Yang Pergi-Fazie Hanna
Kasihku Abadi - Shanika Latisha
Selamat Tinggal Sayang - Ma Lee Chuswan

***1/2
Surat Ungu Untuk Nuha - Noorsuraya
Relevankah Aku Di Hatimu - Rnysa
Jangan Biarkan Aku Menangis - Norhayati Berahim
Syurga Di Hati - Salina Ibrahim
Lelaki Terakhir- Sabariah Araur
Kau Laksana Bulan- Aina Emir
Kasih Antara Kita - Aleya Aneesa
Tanpamu Di Sisi - Puteri Andalas
Getaran Rindu - Norzailina Nordin
...Dan Mimpipun Bersatu - Izza Aripin
Semalam Ku Bermimpi - Aina Emir
Sutera Biru - Nor Rafishah Md Hassan
Kau Kekasihku-Anis Ayuni
Satu Janji - Ramlee Awang Murshid
Suara Hati-Anis Ayuni
Bukan Cinta Biasa - Izzul Izzati
Megalomania - Fatinilam Sari Ahmad
Tanah Andriyana-Noorsuraya
Gemersik Kalbu - Anis Ayuni
Untukmu Hana-Salina Ibrahim
Cintamu Di Hati-Aida Adriani
Manisnya Cinta - Anis Ayuni
Sesuci Cinta-Aina Emir
Pesona Rindu-Sharifah Abu Salem
Tiga Wajah-Lamia Aimal
Kau Yang Satu-Nia Azalea
Bisikan Rindu-Mimie Afinie
Permata Hati-Ma Lee Chuswan
Suite 1908-Sri Diah
Selamat Malam Tan Sri - Sri Diah
Pergilah Sepi-Fauziah Ashari
Tak Seindah Mimpi-Sharifah Abu Salem
Air Mata Kasih-Norhayati Berahim
Ombak Rindu-Fauziah Ashari
Sehangat Asmara-Aisya Sofea
Cinta Pertama-Norhayati Berahim


***
Tiada Batasan Sayang - Norhayati Berahim
Rinduku di Angin Lalu -Norishah Abu Bakar
Lafazkan Cintamu - Aida Adriani
Janji Kasih - Sri Diah
Kembalikanlah Kasihku - Nazawati Abdul Manap
Adam & Hawa - Aisya Sofea
Demi Kasih Ini -Hasreeyati Ramli
Bahagia Itu Miliknya - Rozita Abdul Wahab
Cinta..Tiada Akhirnya - Fauziah Ashari
Emilya Zulaikha -Ariff Affandy
Dendam Yang Terindah-Fatinilam Sari Ahmad
Keranamu Ain-Noorsuraya
Harga Diri - CT Rohaya Abu
Mimpi Kita Serupa-Siti Hasneza Abdul Hamid
Dia Lebih Mengerti-Norhayati Berahim
Tak Seindah Impian-Haikal
Mencari Cinta-Leeya Meeyra
Asmara Yang Pertama-Nass Alina Noah
Pelabuhan Kasih-Lily Suriani
Nota Cinta Buatmu-Norhayati Berahim
Impian Kasih- Liza Zahira
Masih Ada Rindu-Mimie Afinie
Ria Qistina-Bikash Nur Idris
Jauh-Aisya Sofea
Setia Menanti-Fauziah Ashari

**1/2
Lagu Rindu-Ayu Emelda
Secebis Rindu- Alis Ashiqin
Rindu Berdetik Lagi - Zuraidah Othman
Nilai Cintamu-Eka Fahara
Saat Cinta Bersemi - Damya Hanna
Setulus Janji-Aina Emir
Seindah Memori - Ilani Mysara
Seharum Kasih-Aina Emir
Badai Di Hati-Fazie Hanna
Kabus Kasih - Eka Fahara
Seindah Derita-Norhayati Berahim

**
Sutera Kasih-Sirhan Ansari






Contact Me

If you want to be updated on this weblog Enter your email here:




rss feed